Sunday, June 19, 2011

Suami Idaman Wanita

Isteri adalah untuk dikasihi dan disayangi dengan penuh kasih sayang. Isteri bukan tempat untuk si suami melepaskan amarah yang tiada berkesudahan . Isteri adalah makhluk tuhan yang perlu dibelai, dididik dan dihormati setiap masa. 

Setiap hari ada sahaja kisah menyayat hati para isteri yang didera si suami didengari dan tertulis di akhbar. Ada antara mereka yang dilanda trauma yang teruk, didera, dipukul, disepak terajang dan banyak lagi. Sesetengah para suami yang menjadi kaki dera ini beranggapan si isteri layak 'diajar' sedemikian rupa agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Ada juga antara para suami yang menjadi kaki dera kerana telah berasa bosan dengan isterinya yang dianggap tidak menarik lagi dan sebagainya. Malah ada juga yang cuba mencari 'syurga' diluar dengan berlaku curang terhadap isterinya.

Apabila banyak kisah sebegini dipaparkan di dada akhbar dan majalah, semakin ramailah wanita takut untuk mendirikan rumah tangga dan berkahwin kerana mereka khuatir sekiranya hubungan mereka itu juga akan berakhir dengan kisah tragis didera suami atau dicurangi suami .
Persoalannya, adakah ini salah lelaki yang bergelar suami yang tidak tahu menghargai para isteri ataupun salah para isteri yang tidak pandai melayan hati suami?
Lebih baik kita usah menunding jari antara satu sama lain. Baik para suami mahupun para isteri masing- masing tidak patut dipersalahkan . Sekiranya para suami dan isteri sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai suami-isteri seperti yang telah digariskan didalam Al-Qur'an dan As-sunnah sudah tentu tidak akan timbul kes-kes penderaan isteri dan kes-kes curang terhadap pasangan masing-masing.
Banyak kisah-kisah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang dapat para suami jadikan contoh dalam melayari kehidupan berumah tangga agar rumahtangga sentiasa harmoni dan diredhai Allah s.w.t

 Kerana Sifat Al-Amin, Siti Khadijah terpikat

Rasulullah s.a.w telah digelar dengan gelaran Al-Amin oleh para penduduk Kota Mekah kerana beliau telah diberi amanah oleh para pemuda Quraisy ketika isu untuk meletakkan Hajar Al-Aswad timbul. Baginda telah diberikan amanah tersebut kerana seluruh Kota Mekah mengenali baginda dengan sikap baginda yang amanah dan boleh dipercayai.
Abu Lahab pernah cuba meminang Siti Khadijah melalui Abu Thalib. Namun, Abu Thalib telah menolaknya dan Abu Thalib berkata :
"Dalam pertemuanku itu, Khadijah mengatakan dia memerlukan seorang lelaki yang dapat dipercayai bagi menjalankan perniagaannya. Dia berpesan supaya mencarikannya seorang lelaki yang jujur dan dapat dipercayai. Ayah tidak nampak orang lain selain kamu, wahai Muhammad."
Agak-agaknya apakah ciri-ciri orang yang boleh dipercayai yang dimaksudkan Siti Khadijah r.a? Antaranya adalah mempunyai tutur kata yang baik, amanah, jujur serta tidak berbohong.
Wahai para suami dan lelaki diluar sana adakah sukar bagi anda semua untuk mempunyai ciri-ciri murni seperti yang diatas? Sekiranya sukar, muhasabahlah kembali diri anda mengapa ianya menjadi sukar sedangkan ia tidak mustahil untuk dipraktikkan. 

Keberanian dan ketulusan Saidina Ali r.a

Dua sahabat terkemuka iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar telah cuba meminang Fatimah, namun pinangan mereka ditolak dengan baik oleh Rasulullah.
Namun yang akhirnya bernikah dengan Saidatina Fatimah adalah Saidina Ali r.a.
Apakah yang menyebabkan Saidina Ali r.a dipilih oleh Rasulullah s.a.w sebagai menantu baginda? Jelas Rasulullah s.a.w memilih Saidina Ali r.a sebagai menantu baginda kerana sifat keberanian yang terselah dalam diri Saidina Ali r.a. Sejauh manakah keberanian Saidina Ali r.a yang telah menyebabkan beliau dipilih oleh baginda Nabi menjadi menantu baginda? Antara keberanian Saidina Ali r.a sebelum perkahwinan beliau dengan Siti Fatimah r.a lagi, Saidina Ali memang sentiasa berdamping dengan Rasulullah s.a.w. Akhirnya, beliau sendiri berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w dan menyatakan hasrat beliau untuk mengahwini Saidatina Fatimah r.a.
Berlainan dengan para lelaki zaman sekarang yang hanya berani dan rapat dengan keluarga bakal mertua ketika sebelum berkahwin dengan bakal isteri sahaja. Apabila sudah berkahwin, keluarga mertua sering dilupakan dan tidak diziarahi seperti sebelumnya. Malah ada para isteri yang tidak dibenarkan melawat keluarganya apabila sudah berkahwin.

 Keikhlasan cinta Abu Salamah

Abu Salamah merupakan saudara susuan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. Beliau telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan sepupu Khalid al-Walid, yakni Hindun binti Abu Umayyah atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah.
Ummu Salamah merupakan seorang wanita yang sangat cantik, mulia, terhormat dan bijaksana. Cintanya kepada Abu Salamah terlalu besar. Abu Salamah merupakan seorang pahlawan Islam yang berani dan terbilang, beliau sering tercedera ketika berjuang di medan peperangan. Setiap kali Abu Salamah tercedera, Ummu Salamah akan menumpukan sepenuh perhatiannya untuk merawat suaminya yang tercinta.
Namun, telah ditakdirkan jodoh mereka tidak berpanjangan. Abu Salamah pergi meninggalkan Ummu Salamah ketika luka lamanya semasa perperangan berdarah kembali. Saat-saat sebelum pemergian Abu Salamah, Ummu Salamah berkata :
"Kandaku sayang! Dinda mendengar bahawa jika seorang isteri ditinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga dan isterinya tidak menikah lagi, maka Allah mengumpul mereka kembali ke alam syurga. Maka berjanjilah wahai kekasihku, kanda tidak akan menikah lagi, seandainya dinda pergi dulu. Dinda juga akan berjanji akan tidak menikah lagi andai kanda pergi dulu.
Abu Salamah memang mencintai isterinya, dan mengharapkan wanita solehah, secantik dan sebijak isterinya dimiliki oleh seorang yang lebih baik darinya. Dalam tenat berbicara, Abu Salamah membuat keputusan yang terbaik buat isterinya.
"Mahukah dinda taat kepada kanda?' kata Abu Salamah.
"Sudah tentu wahai kekasihku," jawab Ummu Salamah.
"Berjanjilah, jika kanda pergi terlebih dahulu, maka menikahlah lagi," pinta Abu Salamah. Ummu Salamah terkedu, air matanya bercucuran hiba.
"Ya Allah, jika aku mati terlebih dahulu, maka berikanlah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik daripadaku yang tidak akan membuatnya sedih dan menyakitinya," doa Abu Salamah dalam kepayahan.
Abu Salamah berdoa untuk isterinya sebelum dia meninggal dunia, agar isterinya memperoleh kebaikan yang tak terhingga tatkala dia menutup mata.
Demikianlah keikhlasan cinta seorang suami kepada isterinya, memikirkan yang terbaik untuk isterinya, dan akhirnya, Ummu Salamah bernikah dengan Rasulullah s.a.w 

Romantis ala Rasulullah

Sebut perkataan romantis pasti ada antara kalian yang membayangkan romantis jiwang seperti yang selalu dipaparkan didalam drama atau filem-filem cinta. Namun romantik ala Rasulullah berbeza dengan gambaran romantis yang digambar kan didalam drama mahupun filem-filem cinta. Romantik adalah penghubung kemesraan dalam berumahtangga. Pernah suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w keluar menyambut salam dari sahabatnya, dan sahabatnya melihat tangan baginda terdapat tepung. Rupa-rupanya ketika itu baginda sedang membantu isterinya menguli tepung didapur.
Rasulullah s.a.w juga cukup romantik ketika menegur isteri-isteri baginda. Pernah suatu ketika Saidatina Aisyah memasak sesuatu, dan menjemput baginda nabi merasainya. Saidatina Aisyah bertanya tentang masakannya. Lantas, Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuapkan makanan itu ke dalam mulut Aisyah. Tahulah Aisyah mengenai masakannya itu.
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata : "Saya biasa minum daripada cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut saya".
"Lalu baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya. Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya." (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur).
******************************
Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah hidup bersuami isteri yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda untuk dijadikan contoh dan teladan buat para suami masa kini agar sentiasa berhemah dan berhikmah dalam menguruskan keluarga dan rumah tangga.
Kepada para suami dan para lelaki yang bakal menjadi suami, bangkitlah menjadi lelaki yang berkualiti bukan lelaki yang dibenci oleh wanita dan Allah s.w.t.

 ~artikel I luv Islam~

Tuesday, June 14, 2011

Seorang Muslimah Sejati

Seorang muslimah sejati,
yg lembut fitrah tercipta,
halus kulit,manis tuturnya,
lentur hatinya,
telus wajahnya,
setelus rasa membisik jiwa,
dimatanya cahaya,
dalamnya ada air,
sehangat cinta,
sejernih suka,
sedalam luka,
cerita hidupnya,

 seorang gadis itu,

hatinya penuh manja,
penuh cinta,sayang semuanya,
cinta utk diberi,
cinta untuk dirasa...

namun manjanya,
bukan untuk semua,
bukan lemah,
atau kelemahan dunia...

ia bisa kuat,

bisa jadi tabah,
bisa ampuh menyokong,
pahlawan-pahlawan dunia...

begitu unik tercipta,
lembutnya bukan lemah,
tabahnya tak perlu pada,
jasad yang gagah...

seorang gadis itu...

teman yang setia,
buat Adam dialah Hawa,
tetap di sini...

dari indahnya jannah,
hatta ke medan dunia,
hingga kembali mengecap nikmatNya...

seorang gadis itu...

bisa seteguh Khadijah,
yang suci hatinya,
tabah dan tenang sikapnya,
teman Ar-Rasul,
pengubat duka dan laranya...

bijaksana ia,
menyimpan Ilmu,
si teman bicara,
dialah aIshah,
penyeri taman Rasulullah,
dialah Hafsah,
penyimpan mashaf pertama kalamullah...

seorang gadis itu...

bisa setabah Maryam,
meski dicaci meski dikeji,
itu hanya cerca manusia,
namun sucinya ALLAH memuji...

seperti Fatimah kudusnya,
meniti hidup seadanya,
puteri Rasulullah,
kesayangan ayahanda...

suaminya si panglima agama,
di belakangnya dialah pelita,
cahAya penerang segenap rumahnya,
ummi tersayang cucunda Baginda...

bisa dia segagah Nailah,
dengan dua tangan,
tegar melindung khalifah,
meski akhirnya bermandi darah,
meski akhirnya khalifah rebah,
syahid menyahut panggilan ALLAH...

seorang gadis itu...

perlu ada yang membela,
agar ia terdidik jiwa,
agar ia terpelihara...

dengan kenal Rabbnya,
dengan cinta Rasulnya,
dengan yakin Deennya,
dengan teguh Aqidahnya,
dengan utuh cinta yang terutama,
ALLAH jua RasulNya,
dalam ketaatan penuh setia,
pemelihara maruah dirinya,
agama, keluarga dan ummahnya...

seorang gadis itu...

melenturnya perlu kasih sayang,
membentuknya perlu kebijaksanaan,
kesabaran dan kemaafan,
keyakinan dan penghargaan,
tanpa jemu dan tanpa bosan,
memimpin tangan, menunjuk jalan...

seorang gadis itu...

yang hidup di alaf ini,
gadis akhir zaman,
era hidup perlu berdikari...

dirinya terancam dek fitnah,
sucinya perlu tabah,
cintanya tak boleh berubah,
tak bisa terpadam dek helah,
dek keliru fikir jiwanya,
kerna dihambur ucapkata nista,
hanya kerana dunia memperdaya...

kerna seorang gadis itu...

yang hidup di zaman ini,
perlu teguh kakinya,
mantap iman mengunci jiwanya,
dari lemah dan kalah,
dalam pertarungan yang lama,
dari rebah dan salah,
dalam perjalanan mengenali Tuhannya,
dalam perjuangan menggapai cinta,
nikmat hakiki seorang hamba,
dari Tuhan yang menciptakan,
dari Tuhan yang mengurniakan...

seorang gadis itu...

anugerah istimewa kepada dunia!

seorang gadis itu...

tinggallah di dunia,
sebagai bidah,
dayah dan mujahidah,
pejuang ummah...

kelak jadi ibu,
membentuk anak-anak ummah,
rumahnya taman ilmu,
taman budi dan ma'rifatullah...

seorang gadis itu...

moga akan pulang,
dalam cinta dan dalam sayang,
redha dalam keredhaan,
Tuhan yang menentukan,
seorang gadis itu dalam kebahagiaan!

moga Ar-Rahman melindungi,
merahmati dan merestui,
perjalanan seorang gadis itu,
menuju cintaNYA yang ABADI!




Saturday, June 11, 2011

Memilih Isteri Dengan Baik

"Dan, kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang berkahwin) dari hamba-hambanya sahayamu yang lelaki dan hamba-hambanya sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah (SWT) akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan, Allah (SWT) Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." (An-Nur : 32 )

Ciri – ciri isteri solehah yang telah ditetapkan dalam sunnah Rasulullah saw:
1. Wanita solehah, seperti hadis Rasulullah saw bahawa dunia ini seluruhnya adalah kesenangan. Tetapi sebaik-baik kesenangan di dunia adalah isteri yang solehah.
 

2. Membantu suami ke jalan kebaikan, Rasulullah saw bersabda "Hendaklahnya kalian memiliki hati yang selalu bersyukur, lidah yang selalu berzikir, dan isteri mukminah yang menolongnya melakukan urusan akhirat."

3. Wanita penyayang dan berketurunan, Rasulullah saw bersabda "Nikahilah wanita yang penyayang dan berketurunan atau boleh melahirkan zuriat, sebab aku akan membanggakan kalian di hadapan para nabi kelak di hari kiamat".

Rasulullah saw menjelaskan jika wanita solehah adalah satu perkara yang membawa kebaikan dalam hidup seorang lelaki, maka wanita yang buruk (jahat) adalah salah satu dari empat perkara yang mendatangkan penderitaan, seperti yang disebutkan dalam hadith sahih yang bermaksud :

"Di antara yang mendatangkan kebahagian itu ialah perempuan solehah yang jika kamu melihatnya maka akan membuatmu terhairan-hairan, dan jika kamu meninggalkannya berpergian maka dia akan menjamin keamanannya pada dirinya dan hartamu. Dan di antara yang mendatangkan penderitaan ialah wanita yang jika kamu melihatnya akan bersikap buruk padamu dan melontarkan kata-kata yang kasar kepadamu, dan jika kamu meninggalkannya berpergian maka kamu tidak akan merasa aman pada dirinya dan hartamu."

Berusaha Memperbaiki Isteri


Apabila isteri itu seorang yang solelah, maka itu merupakan kenikmatan dan anugerah Allah SWT. Tetapi, jika ia tidak solehah atau tidak baik, maka merupakan kewajipan pemimpin rumah tangga untuk berusaha memperbaikinya. Perkara ini boleh terjadi kerana beberapa sebab, di antaranya jika seorang lelaki mengahwini wanita yang pada dasarnya tidak taat agama, kerana lelaki tersebut pada mulanya tidak member keutamaan pada aspek keagamaan calon isterinya, atau ia menikahinya dengan harapan dapat memperbaikinya kemudian, atau kerana desakan dan paksaan keluarganya. Namun, ia hendaklah terlebih dahulu mengetahui bahawa yang memberi hidayah itu Allah SWT, dan Allahlah yang sebenarnya memperbaiki keadaan. Selain dari mendidik suami hendaklah sentiasa berdoa semoga isteri mereka akan berubah menjadi insan yang lebih baik dan akhir sekali bertawakkal kepada Allah SWT.

Untuk memperbaiki isteri ada beberapa cara:


1. Memberikan tumpuan untuk memperbaiki cara peribadatannya kepada Allah SWT.

2. Berusaha memperbaiki aspek keimanannya.

3. Menganjurkannya melakukan qiyamullail (solat malam).

4. Menganjurkan supaya rajin membaca Quran.

5. Menganjurnya untuk menghafal zikir-zikir dan doa-doa serta mengingatkannya agar melakukannya pada waktu-waktu dan kesempatan-kesempatan yang di anjurkan.

6. Mendidiknya agar rajin bersedekah.

7. Menyuruhnya agar membaca buku-buku keislaman yang bermanfaat.

8. Menyuruhnya agar mendengar kaset-kaset keIslaman yang berfaedah, baik yang berkenaan dengan ilmu pengetahuan mahupun pembinaan keimanan, serta terus berusaha untuk menyediakan kaset-kaset tersebut.

9. Memilih sahabat-sahabat dari kalangan wanita-wanita yang beragama, dan mengikat tali persaudaraan bersama mereka, sebagai teman berbincang dalam kebaikan dan saling kunjung-mengunjungi dengan tujuan-tujuan yang bermanfaat.

10. Mencegahnya dari melakukan kejahatan dan menutup pintu-pintunya dengan cara menjauhkannya dari bergaul dengan teman-teman yang buruk perangainya dan menjauhi tempat-tempat kejahatan.

Suasana Rumah Tangga Yang Diberkati


Rumah sebagai tempat mengingat Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Perumpamaan rumah yang dijadikan tempat mengingat Allah SWT dan rumah yang tidak dijadikan tempat mengingat Allah SWT adalah bagaikan perbezaan antara orang yang hidup dan orang yang telah meninggal."

Apabila rumah dijadikan tempat mengingat Allah SWT, maka malaikat akan masuk ke dalamnya dengan membawa rahmat dan berkat. Mengingat Allah SWT dengan banyak membaca Al- Quran, solat, zikir dan mengkaji ilmu agama dan membaca beraneka ragam ilmu. Selain itu rumah tersebut juga harus jauh dari kemaksiatan dan kemungkaran dengan dipenuhi dengan gambar-gambar khurafat, patung-patung, lagu-lagu yang mengkhayalkan dan minuman keras. Rumah sebagai kiblat, tempat sujud dan ibadah kepada Allah SWT.
 

Pendidikan keimanan terhadap ahli keluarga

1. Menyuruh isteri solat malam.

2. Menyuruh isteri bersedekah. Jika ketua rumah tangga ingin menunjukkan teladan yang baik bagi anggota keluarganya maka hendaklah ia berpuasa pada ayyamul baidh "Hari-hari purnama" (tanggal 13, 14, 15), puasa Isnin-Khamis, puasa Hari Tasu'a (tanggal 9 Muharram), puasa Hari Asyura' (tanggal 10 muharram), puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) dan banyak berpuasa pada bulan Muharram dan bulan Syawal, sehingga keteladanan ini akan menjadi pendorong bagi ahli keluarga.

Amalan sunnah dalam rumahtangga

1. Bacaan ketika masuk rumah, masuk ke rumah dengan menyebut nama Allah SWT.

2. Doa ketika keluar rumah, keluar rumah dengan menyebut nama Allah SWT dan membaca doa.

3. Bersiwak, Rasulullah SAW apabila ingin masuk ke dalam rumah baginda akan memakai siwak iaitu membersihkan gigi dengan kayu siwak.

4. Sentiasa mengamalkan doa-doa & amalan Rasulullah saw dalam apa jua aktiviti kehidupan sehari-hari. Mengusir syaitan dari dalam rumah Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah menjadikan rumah kalian laksana kuburan. Sesungguhnya syaitan itu akan pergi dari rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah di dalamnya."

Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW menerangkan, "Bacalah surah Al-Baqarah di dalam rumah kalian sebab syaitan tidak akan masuk ke dalam rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah di dalamnya."

Mengenai keutamaan dua ayat terakhir dari surah Al-Baqarah itu, serta pengaruhnya kerana membacanya di dalam rumah, baginda menyebutnya :

"Sesungguhnya Allah SWT telah menulis sebuah kitab dua ribu tahun sebelum Ia menciptakan langit dan bumi, dan kitab itu berada di Arasy, dan Allah (SWT) telah menurunkan darinya dua ayat yang Allah SWT jadikan sebagai penutup surah Al-Baqarah. Jika kedua ayat tersebut tidak dibaca di dalam sebuah rumah selama tiga hari maka ia akan didekati oleh syaitan."

Mengutamakan Pendidikan Agama & Mengajarkan Hukum-Hukum Islam


1. Melakukan solat di rumah.

2. Bukan orang lain menjadi imam.

3. Meminta izin, hendaklah orang Islam meminta izin sebelum memasuki mana-mana rumah, dan janganla dia masuk kecuali dengan izin shahibu bait.

4. Tidak perlu meminta izin masuk ke rumah penginapan (tamu).

5. Diizinkan makan di rumah para keluarga.

6. Meminta izin masuk ke bilik istirehat ibu-bapa.

7. Larangan membuang masa di rumah orang lain tanpa izin mereka.

8. Menetap di rumah semasa iddah.

9. Memisahkan tempat tidur bagi isteri yang nusyuz (yang tidak taat padanya) untuk memberi pengajaran supaya isteri tersebut berubah.

10. Tidak tidur malam sendirian di rumah, diriwayatkan oleh ibn Umar Rasulullah SAW melarang orang bersendirian di dalam rumah kerana bahaya bagi dirinya, larangan ini demi kemaslahatannya.

11. Tidak tidur di atas loteng yang tidak ada dindingnya, kerana jika orang itu jatuh ke bawahlalu mati maka tidak ada orang yang dapat dipertanggungjawabkan atas kematiannya.

12. Kucing tidak najis, dan Rasulullah SAW bersabda bahawa: "Kucing tidak najis, dan termasuk binatang yang bolak-balik di hadapan kalian".

Saling Berkomunikasi Dalam Keluarga


1. Menyediakan masa bersama untuk ahli keluarga, Allah SWT menerangkan di dalam Al- Quran, "sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka….."

2. Menyembunyikan perselisihan keluarga di hadapan anak-anak.

3. Tidak menerima tetamu yang tidak disukai.

4. Mengawasi aktiviti-aktiviti keluarga, siapa teman mereka, apa yang dibawa masuk ke dalam rumah, apa yang terdapat di dalam bilik mereka dan ke mana anak-anak pergi dan dengan siapa mereka pergi.

Memberikan Perhatian Kepada Anak-Anak

1. Hafalan Al-Quran dan kisah-kisah dalam Islam Tidak ada yang lebih baik bagi seorang bapa selain membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada anak-anaknya dan menerangkannya secara sederhana, serta memberi hadiah apabila mereka menghafalnya. Anak-anak dapat menghafal surah yang sering dibaca oleh bapanya misalnya, apabila sering diadakan majlis ta'lim dirumah pada setiap jumaat dan pada majlis itu sering dibaca surah Al- Kahfi maka tidak mustahil anak itu dapat menghafal surah tersebut dengan cepat. Sering menceritakan pada anak-anak kisah-kisah nabi, kisah teladan dan pahlawan –pahlawan Islam. Mengajar anak-anak zikir dan doa-doa harian yang dapat diamalkan oleh anak-anak seharian dan yang paling utama sekali bapa harus menunjukkan contoh yang baik supaya dapat diikuti olah anak-anak.

2. Memperhatikan sahabat anak-anak.

3. Menyediakan permainan yang bermanfaat.

4. Memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan.

5. Akrab dan lemah lembut terhadap anak-anak.

6. Displin waktu tidur dan makan.

7. Menilai pekerjaan wanita di luar rumah, dengan memastikan bahawa isteri dan anak-anak mempunyai pekerjaan dan halal di sisi agama.

8. Menjaga rahsia rumah-tangga.

9. Tidak menyebarkan rahsia hubungan suami-isteri.

10. Tidak menyebarkan perselisihan- perselisihan yang terjadi antara suami-isteri.

11. Tidak membongkar apa saja yang bersifat peribadi, sekiranya dibongkar di hadapan orang lain akan menimbulkan mudharat bagi rumahtangga atau salah seorang ahlinya.


Keperibadian Dalam Rumahtangga

1. Bersikap lemah lembut terhadap ahli keluarga.

2. Membantu menyelesaikan pekerjaan rumah.

3. Bermesra dengan keluarga.

4. Mencegah akhlak tercela di dalam rumah seperti dusta, ghibah (memperkatakan keburukan orang lain), namimah dan sebagainya.

5. Menggantungkan cabuk pada tempat yang dapat dilihat oleh anggota keluarga, sebagai amaran bahawa apabila ada diantara anggota keluarga yang melakukan kesalahan berat maka mereka akan dihukum.

Menghindari Kemungkaran Di Dalam Rumah


1. Berhati-hati, jangan sampai kerabat yang bukan mahram masuk ke dalam rumahnya yang ada wanita di dalamnya pada waktu ketiadaan suaminya.

2. Memisahkan para lelaki dan wanita ketika melakukan kunjungan keluarga.

3. Bersikap waspada pada pemandu dan pembantu rumah.

4. Berhati-hati pada bahaya TV dan video.

5. Berhati-hati pada bahaya telefon.

6. Wajib menghilangkan segala bentuk symbol keagamaan orang-orang kafir dan agama batil dari dalam rumah.

7. Menghilangkan gambar-gambar yang bernyawa.

8. Laranglah merokok di rumah anda.

9. Hindari jangan sampai anda suka memelihara anjing di rumah.

10. Menghindari mengukir atau menghiasi rumah sehingga menyerupai rumah orang kafir.

Memilih Lokasi Dan Suasana Kediaman

Lokasi rumah


Sebaiknya, lokasinya dekat dengan masjid. Dalam hal ini, terdapat berbagai faedah yang amat besar nilainya, dengan mendengar azan, maka akan memudahkan bagi kaum lelaki pergi solat berjemaah, bagi wanita mudah ke majlis ilmu dan bagi kanak-kanak pergi ke kelas Al-Quran. Hendaklah rumah itu tidak berada pada bangunan yang ada kefasikan, atau berada pada kompleks perumahan yang ada padanya orang-orang kafir dan didalamnya terdapat kolam renang yang akan berkumpul lelaki dan perempuan. Kemudian rumah tidak terbuka, kalau pun terjadi demikian maka hendaklah dibuat tabir atau dengan meninggikan tembok.

Suasana di dalam rumah


Suasana di dalam rumah, hendaklah diperhatikan kemungkinan memisahkan antara lelaki dan perempuan dengan memasuki pintu yang berlainan. Jika hal ini tidak ada memadai dengan memasang pemisah dengan kain.

Memilih tetangga dahulu

Memilih tetangga dahulu sebelum memilih rumah Rasulullah Saw telah memberitahu mengenai empat perkara yang dapat mendatangkan kebahagian, lalu baginda menyebut hal itu, dan di antaranya ialah al-jar ash-shalih tetangga yang soleh. Juga baginda memberitahukan empat perkara yang dapat mendatangkan keburukan di antaranya ialah al-jar as-su' tetangga yang jahat.


Menyediakan kemudahan


Menyediakan kemudahan untuk ahli keluarga, kemudahan perabot di rumah dan keselesaan di rumah.

Mengutamakan kesihatan ahli keluarga


Rasulullah SAW apabila salah seorang dari keluarganya mengalami sakit, baginda menghembuskan berbagai bacaan ta'awwudz (meminta perlindungan) kepadanya.


Artikel Dipetik: Blog Ustaz Nor Amin Sayani b. Zainal Link

Monday, June 6, 2011

Mak, Saya Nak Nikah...

 

Beberapa tahun sebelum bernikah, saya mencari-cari kelebihan berkahwin awal supaya saya termotivasi untuk bernikah awal. Dan ditemui antara kelebihan berkahwin adalah ia menjaga kesucian diri dan hati. Memelihara pandangan dan kehormatan.


Ya, saya pun kemudiaannya berada di fasa yang sama dengan teman-teman, terdorong untuk bernikah untuk menjaga hati...(walaupun belum ada calonnya lagi). Tapi saat ini, saya tidak memandang lagi semua itu sebagai KELEBIHAN berkahwin awal, tapi KEWAJIPAN dan KEUTAMAAN berkahwin awal.


“Susah sangat ke nak jaga hati…??”


“Kenapa tak sabar tunggu hingga habis belajar…??”


“ Tak payahlah selalu contact dengan lelaki tu kalau hati tak tenang..!??”


“Kan selalu ikut program agama, takkan boleh terjerumus maksiat….!??”


“Orang lain bercinta juga, tak lah sampai nak berzina…!??”


“Janganlah ikut sangat perasaan…”




Mungkin ini adalah antara dialog luahan-luahan mak ayah kita bila saatnya kita menyuarakan keinginan untuk bernikah di usia awal 20an. Lantas kita merasakan ibu bapa tak memahami ‘situasi getir’ yang kita hadapi dalam era moden dunia tanpa sempadan.


Ya, memang ibu bapa kita kebanyakkannya tak faham..kerana kita juga tak berusaha untuk faham apa yang mereka faham. Yang mak ayah kita faham, kita masuk universiti untuk belajar. Dan belajar. Dan belajar. Hingga dapat segulung ijazah. Kemudian dapat perkerjaan yang menjamin masa depan.


Kemudian berkongsi sedikit kesenangan dengan adik-adik dan famili. Kemudian, silakanlah merancang untuk pernikahan. Waktu itu, tenangnya hati mak ayah kerana kita telah ada pendapatan bulanan. Mungkin ada juga sedikit wang simpanan. Mak ayah kita punya harapan dan perancangan sebegitu kepada anak-anak kerana MUNGKIN mereka membandingkan zaman pergaulan kita dengan situasi muda mudi zaman 70an dan 80an.


Sedangkan kita di ‘era depan’ 2010, 2011, 2012. Kita tidak lagi di zaman public phone, perlu ada syiling yang cukup untuk meluah perasaan mencambah perasaan dengan ‘teman tapi mesra’ itu. Kita tidak lagi di zaman mengutus surat menyatakan rindu sayang, jika bersurat, rasa rindu dan sayang hanya sampai kepada si dia setelah jiwa bergelora kita menjadi reda.


Komunikasi yang terbatas waktu dulu tidak memungkinkan perkenalan sebulan dua membawa kepada keinginan yang dasyat untuk berzina…! Kita bukan di zaman perlu menunggu dan menaiki bas untuk keluar dating. Kita bukan di zaman mengintai dari jauh buah hati yang sering diingat-ingatkan. Namun, kita berada di zaman yang amat sukar kita tewaskan segala dugaan dan godaan, dengan lemahnya jiwa dan perasaan.


Mak ayah nampak macam kita menjaga pergaulan lelaki dan perempuan, namun hakikatnya saban waktu kita berdekatan lelaki dan perempuan, dengan terciptanya handphone, laptop etc di samping berkembang majunya cara berkomunikasi dan laman sosial. Mula dengan saling berkenalan di alam kampus atau luar kampus, di alam maya atau alam nyata. Ada handphone, boleh call dan sms berjam-jam melayan suka dan cinta yang mekar tumbuh di jiwa. Bila semakin rapat, boleh bermesra hingga menimbulkan keghairahan hanya melalui telefon.


"Abang.."


"Sayang.."


"Darling.."


"Muah muahss.."


Dari text "...dah makan, buat apa tu" kepada.. "....sayang tidur pakai apa.."


"nanti call kejutkan bangun tahajud ya.. abang nak dengar suara sayang.."





Perasaan orang muda bertali arus dengan gelora cinta, wahai ibu ayah, kami tidak ada kekuatan menepis semua ini. Kalau smartphone, lebih canggih dugaannya untuk menjaga kesucian hati dari segala kemudahan bercinta terhidang depan mata, hanya di telapak tangan. Dulu ada komputer hanya untuk menyiapkan tugasan dan kerja-kerja sebaiknya. Kini ada laptop atau komputer peribadi dilengkapi internet yang menjadi wasilah penting untuk mempertaut hati.


Pilih saja broadband yang bagus atau streamyx.. YM, facebook, twitter dan segala jenis social network ini melajukan curahan perasaan hingga tak mampu dikawal. Curahan perasaan lambat laun membawa kepada bertukar-tukar gambar sendiri tanpa pakaian atau minima sekali. Gambar-gambar kaku kemudiannya dipanjangkan pada video sebenar.


Mak ayah mungkin tak faham dengan kewujudan video calls yang membolehkan bercinta bukan dengan hanya dengan pujuk rayu mesra, malah ada kebebasan untuk mempamerkan keindahan fizikal. Dengan web cam yang jelas gambar dan cantik skrinnya, sendirian di bilik rumah sewa dan asrama masing-masing, siapa yang melarang untuk tidak membuka tubuh pada kekasih seperti malam pertama suami isteri?


Tidak perlu menunggu bas untuk dating, si dia yang punya kereta bersedia mengambil dan menghantar. Di jalan-jalan sunyi, siapa yang kuat untuk tidak ringan-ringan sewaktu cinta kasih meluap-luap memenuhi perasaan? Jika di taman-taman dan kawasan peranginan jua jeram tak ada privasi bercumbu-cumbuan, siapa yang melarang untuk check-in di budget hotel RM9.90 semalam yang makin banyak di sekeliling tempat belajar dan tempat kerja kalian..


Mak dan ayah, kalaupun kami tak berpacaran, di jalanan banyak perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang hingga jiwa kami menjadi resah gelisah.. (ya, ia kesalahan kami tidak merendahkan pandangan). Mak dan ayah, kami tidak mahu terlibat dengan pacaran, namun teman-teman sekeliling banyaknya yang dah 'berdua', kami teringin juga sepertinya..


Mak dan ayah, inilah zaman yang kami berada di dalamnya. Tidaklah kami sekadar menyalahkan zaman, namun kami mencari alternatif menguatkan jiwa dan perasaan. Kami ingin bernikah, bantulah kami menjaga sekeping iman dan akhlak yang makin hilang dengan segala kecanggihan hidup yang datang. Kami ingin bernikah, bantulah kami berumahtangga agar pengajian berjaya diteruskan dan rumahtangga dipelihara dengan matang.


ALLAH berfirman, “…jangan dekati zina…” namun ke manapun kami berpusing, kami seolah-olah terlalu dekat dengan zina. Kami akui kelemahan kami, kami akui kesilapan kami, bantulah kami mencari kehidupan yang suci dan tenang.. Bantulah kami untuk terus di atas jalan kebaikan.



http://www.murabbi.net/articles.php?article_id=541

Tips Memilih Calon Suami Yang Baik



Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjiNya pasti, itulah sedikit dari lagu Raihan.

Lantaran kasih manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar suami, pilihlah seorang lelaki yang....

Kuat Agamanya

Biar sibuk macamana, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang kuat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin.

Baik Akhlaknya

Ketegasannya nyata tapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara.

Tegas Mempertahankan Maruah


Pernahkah dia menjengah ke tempat-tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam.

Amanah

Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.

Tidak Boros


Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

Tidak Liar Matanya


Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

Terbatas Pergaulan

Sebagai lelaki dia tahu dia tak mudah jadi fitnah orang, tapi dia tak amalkan cara hidup bebas.

Rakan Pergaulannya


Rakan-rakan pergaulannya adalah mereka yang sepertinya.

Bertanggungjawab


Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk parents dan ahli familynya. Jika parentsnya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tak bertanggungjawab.

Tenang Wajah

Apa yg tersimpan dalam sanubari kadang-kadang terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Berbahagialah kamu jika diintai calon yang demikian sifatnya.







Penulis: Ustaz Nor Amin b. Sayani

Sumber: http://www.ustaznoramin.com/2010/11/tips-mencari-calon-suami-yang-baik.html